Khamis, 12 September 2013

PANDUAN BUANG SIKAP PANAS BARAN



1. BERTANGGUNGJAWAB MEMEGANG AMANAH
Sentiasa insaf bahawa isteri dan anak-anak adalah satu amanah dan jangan sesekali mensia-siakan hidup mereka dengan sikap panas baran tidak bertempat.

2. JANGAN DILAYAN PERASAAN MARAH
Jika amarah dicetuskan oleh kelemahan pihak lain, segeralah beristighfar dan belajarlah memaafkan orang lain.

3. KETAHUI CARA YANG BETUL UNTUK MELEPASKAN KEMARAHAN
Jika anda sedang marah, jangan sesekali melepaskan kemarahan kepada orang lain khususnya isteri dan anak-anak. Cari kaedah lain seperti menarik nafas dalam-dalam, mandi air suam, berwuduk dan sebagainya yang tidak memudaratkan diri dan orang lain.

4. ELAKKAN PENGGUNAAN KATA-KATA KESAT
Jika anda ingin menegur dan memperbaiki kelemahan pasangan, janganlah sesekali menggunakan kata-kata kesat dan memaki hamun untuk memuaskan hati anda dan emnghiraukan hati pasangan. Sebaliknya, berbincang, menasihati adalah cara terbaik.

5. PERBAIKI CARA HIDUP
Tekanan hidup di kota metropolitan yang penuh cabaran disamping kos sara hidup yang tinggi secara tidak langsung memberikan impak dan mencetuskan perasaan marah jika tidak dikawal dengan baik. Oleh itu, selalulah berfikiran positif, tenang dan berusaha menambahkan pendapatan keluarga untuk keselesaan bersama.



Rasulullah mencadangkan dua tindakan bagi mengatasi panas baran iaitu dengan cara mengubah posisi atau cara duduk dan berwuduk. Kedua-dua saranan itu terdapat dalam sabda baginda yang bermaksud: "Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring."(hadis riwayat Muslim).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk."(hadis Riwayat Abi Daud).

1. Jauhkan diri daripada situasi menimbulkan kemarahan
Jika anda tahu pasangan anda mempunyai sikap panas baran, elakkan daripada melakukan perkara yang boleh menimbulkan kemarahannya. Cepat memohon maaf jika tersalah dan akui kesilapan.
Bagi anda yang panas baran, jika bertembung dengan situasi yang boleh menimbulkan baran anda, segera jauhkan diri anda daripada keadaan tersebut dan carilah masa yang sesuai untuk bertenang.
2. Mendiamkan diri ketika marah
Panas baran bermula dengan tindakan demi tindakan. Cara terbaik untuk mengurangkan sikap panas baran anda adalah dengan mendiamkan diri tanpa mengambil apa-apa tindakan. Apabila anda berjaya menghayati sikap berdiam diri ketika marah, secara tidak langsung anda berusaha menghilangkan sikap panas baran anda sedikit demi sedikit.
3. Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat.
Jika sebelum ini anda terbiasa memekik atau bertindak garang ketika marah, usahakan untuk meluahkan rasa marah anda secara positif dan terhormat agar anda lebih dihormati.
Perlahankan suara, bercakap menggunakan perkataan yang tidak menyakitkan orang lain dan elakkan daripada bertindak secara fizikal.
4. Luah pada masa dan tempat sesuai
Emosi marah yang tidak terkawal juga berpunca daripada perasaan yang dipendam. Ledakannya ibarat gunung berapi pendam yang mungkin meletus bila-bila masa tanpa amaran.
Lantas, sentiasa luahkan emosi malah apa jua masalah yang anda alami bertepatan pada masa dan tempatnya. Tindakan ini akan dapat mengurangkan tekanan anda seterusnya mengurangkan sikap panas baran anda.
5. Bawa bertenang
Anda perlu sentiasa belajar mengawal diri dengan bertenang dalam menghadapi apa juga keadaan dan situasi yang menggugat kesabaran anda. Praktikkan untuk menarik nafas dalam-dalam dan lepaskan.
Jika anda Muslim, beristighfarlah kerana dengan beristighfar anda akan tahu anda adalah hamba-Nya dan jika Allah mampu mengampunkan hamba-Nya, kenapa tidak anda? Memaafkan orang lain dapat mengelakkan panas baran.
6. Senyum
Nampak macam satu perkara mudah tetapi percayalah, senyuman mampu meredakan tekanan. Praktikkan untuk sentiasa melakarkan senyuman tanpa mengira masa dan keadaan.
Senyuman yang sentiasa terukir di bibir menjadi satu penawar kepada kemarahan dan sikap panas baran anda.
Untuk Muslim, saya menyarankan anda untuk sentiasa mengamalkan zikir-zikir bagi mengingati Allah. Ucapkanlah zikir Sayidatina Fatimah iaitu "Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah wallahu akbar." Sentiasa lafazkan zikir ini, insya-Allah akan dapat membantu meringankan tekanan hidup anda sekali gus mengelakkan sikap panas baran anda berleluasa.
Ingatlah! Tiada satu faedah pun daripada sikap panas baran. Yang ada hanyalah keburukan yang memusnahkan perkahwinan, persahabatan, kerjaya dan kesihatan anda.