Ahad, 28 Mac 2010

Mencabut Uban

Ramai dalam kalangan kita yang berasa malu dan aib kala rambut beruban, justeru ramailah umat Islam kita yang mencabut uban di kepala. Apakah hukum sebenarnya mencabut uban dan apakah hikmahnya?



Jawapan: Uban merupakan salah satu kurniaan Allah yang berharga buat hambanya sebagai tanda peringatan dekatnya kematian dengan berubahnya warna rambut daripada hitam kepada putih. Ini membuatkan kebanyakan manusia berasa malu kalau dirinya dianggap sudah tua. Ramai orang yang tidak tahu hal tersebut akhirnya mengambil inisiatif untuk mencabutnya. Para ulama yang membincangkan perihal uban ini turut membincangkan mengenai uban pada janggut.

Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu' katanya, "Jika dikatakan mencabut uban dilarang kerana ada larangan yang sarih (jelas) daripada Rasulullah s.a.w, maka hal tersebut tidak keliru, sama ada mencabut uban di janggut atau kepala kerana Rasul s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu mencabut uban kerana tidaklah seorang muslim yang beruban dengan satu uban kerana menegakkan Islam, melainkan akan menjadi cahaya baginya kelak pada hari kiamat." (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i)

Menurut penulis Tuhfah al-Ahwazi menjelaskan dalam syarahnya tentang "akan bercahaya pada hari kiamat" maksudnya adalah seseorang akan mendapatkan cahaya ketika berada dalam kegelapan dan kesusahan (tatkala melintasi jambatan sirat) pada hari kiamat. Al-Munawi berkata: "Uban yang dimaksudkan di sini ialah uban seseorang yang tumbuh kerana memperjuangkan Islam seperti jihad atau takut kepada Allah."

Kesimpulannya, mencabut uban hukumnya makruh dan lebih afdal untuk tidak mencabutnya kerana kelak akan menjadi penerang kita pada hari kiamat. Maka, bagi sesiapa sahaja yang sudah beruban sama ada masih muda ataupun sudah tua, hendaklah jangan segan dan malu untuk memeliharanya dan jangan sekali-kali mencabutnya. Hendaklah kita sebagai seorang Muslim tetap dalam mengamalkan sunah-sunah Rasulullah s.a.w.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan